Umumnya, Tibet merupakan tempat asal bangsa Tibet selain etnik-etnik kecil seperti etnik Monpa, etnik Qiang (Tibeto-Burman), dan etnik Lobha (Tibeto-Burman). Tibet kini turut dihuni oleh etnik Han (Sino-Tibet) dan etnik Hui. Tibet merupakan rantau tertinggi di Bumi, dengan purata ketinggian 4,900 meter (16,000 kaki) dari paras laut.
Tibet muncul pada abad ke-7 M sebagai sebuah empayar kesatuan, namun
kemudian berpecah menjadi beberapa kawasan. Kelompok rantau Tibet tengah
dan barat (Ü-Tsang) selalunya kurang dinamakan dalam siri
kerajaan-kerajaan Tibet di Lhasa, Shigatse atau tempat-tempat
berdekatan. Kerajaan-kerajaan Tibet ini sering dijajahi oleh Mongol dan
China. Rantau timur di negeri Kham dan negeri Amdo selalunya mengekalkan
struktur politik anak negeri yang bersifat desentralisasi, terbahagi
kepada negeri-negeri mahkota dan kelompok-kelompok puak, sementara ia
lebih banyak terjatuh ke tangan orang China. Kebanyakan rantau tersebut
diserap ke wilayah-wilayah China seperti Sichuan dan Qinghai. Sempadan
Tibet terkini umumnya ditetapkan pada abad ke-18 M.
Berikutan kejatuhan dinasti Qing pada 1912, tentera-tentera imperial
dinasti Qing diarah meletak senjata dan diiringi keluar dari Tibet
(Ü-Tsang). Berikutnya, rantau tersebut mengisytiharkan kemerdekaannya
pada 1913, tanpa pengiktirafan pemerintah Republik China. Lhasa
seterusnya menguasai barat wilayah Xikang, China.
Rantau Tibet terus mengekalkan autonominya sehingga 1951 apabila Tibet
ditakluki semula dan disatukan dengan Republik China. Kerajaan Tibet
sebelumnya dihapuskan pada 1959 selepas kebangkitan gagal. Hari ini,
pemerintah Republik Rakyat China mentadbir Tibet Tengah dan Tibet Barat
sebagai Rantau Autonomi Tibet; sementara Tibet Timur pula dijadikan
kawasan-kawasan autonomi etnik dalam wilayah Sichuan, Qinghai dan
lain-lain wilayah berjiran. Terdapat juga ketegangan berkenaan status
politik Tibet dan kelompok-kelompok penentang yang bergiat dalam
buangan. Mereka yang terlibat dengan kegiatan aktivis di Tibet didakwa
telah ditahan atau diseksa oleh pihak berkuasa.
Ekonomi Tibet masih bergantung kepada pertanian sara diri, walaupun industri
pelancongan di Tibet mula berkembang sejak dekad terbaru ini. Penduduk
Tibet mengamalkan ajaran Buddha Vajrayana di samping amalan-amalan Bön
yang sudah wujud sebelum ketibaan ajaran Buddha pada abad ke-7 M.
Terdapat juga minoriti Muslim dan Kristian di situ. Ajaran Buddha
menjadi asas kepada kesenian, muzik, dan perayaan di situ. Senibina
Tibet mencerminkan pengaruh India dan China. Makanan ruji di Tibet
antaranya seperti barli bakar, daging yak dan teh mentega.
Isi Kandungan