Bagaimanakah kita dapat mengesan sama ada sesuatu penyakit itu adalah disebabkan oleh semangat atau sebaliknya?
Tidak mudah untuk kita mengesan bahawa sesuatu penyakit itu adalah disebabkan oleh gangguan semangat. Perubatan Tibet sangat rumit dan luas. Terdapat tiga bahagian dalam perubatan Tibet iaitu:
- Perubatan Somatik
- Perubatan Dharma
- Perubatan Tantra
Tabib Tibet yang memeriksa nadi, menjalankan persiapan perubatan dan temubual dengan pesakit boleh jadi juga adalah seorang lama
(bhiksu) atau yogi yang berkesedaran untuk membantu dengan menjalankan
penilaian yang betul. Mereka mengerjakan hal ini dengan dorongan
kesedaran sebagai seorang tabib dan lama. Dengan amalan yang terbit dari
latihan maka mereka mampu untuk menjalankan kegiatan perubatan. Mereka
boleh membawa peralatan yang pelbagai bagi membantu mereka sebagai
contoh, alat tilikan, alat ramalan dan lain-lain mekanisme yang
berkaitan.
Bolehkah tabib-lama menetapkan ubatan untuk ketiga-tiga tahap perubatan seperti di atas?
Ya,
boleh jika dia adalah seorang yang jaya dan sempurna. Jika dia terlatih
dalam sadhana tahap maju. Amalannya dalam pemujaan dan tantra boleh
menjana mandala, menyeru dewata dan membantu pesakit. Jika seseorang
tabib itu tidak mempunyai kemahiran yang sepatutnya, dia akan
menjalankan diagnosis dan merujuk pesakit tersebut kepada seorang lama.
Lama akan menjalankan penilaian dan menjalankan pemujaan serta
langkah-langkah seterusnya.
Adakah gangguan dari semangat itu selalu kelihatan dalam penyakit yang dihidapi oleh seseorang?
Ya,
selalu kelihatan. Terdapat juga penyakit yang disebabkan oleh alam
persekitaran dan gangguan-gangguan yang lain. Elemen alam sekitar boleh
mencetuskan gangguan. Semangat tidak menggangu namun punca luaran
mengganggu elemen kita dan merosakkan kesihatan mental kita.
Penyakit
yang sedikit pun boleh disebabkan oleh semangat. Mereka menggangu lung,
tenaga angin dalam badan manusia. Tenaga ini akan menjadi padat dan
akal pun akan tenggelam dalam satu corak tabiat tertentu. Kita sudah pun
dikejar oleh semangat-semangat ini sejak kelahiran yang lampau.
Kadang-kala serangan yang berlaku sekaligus. Jika kita tidak dilindungi
maka semangat lain yang berfikiran sama akan mendekati kita. Semangat
ini boleh jadi tamak. Mereka lalu merosakkan diri mereka dan tidak boleh
menerima pembebasan. Keadaan mereka sebenarnya adalah lebih teruk
daripada keadaan kita. Sesetengah semangat melihat tubuh ini sebagai
sumber tenaga. Mereka seperti pontianak terdesak untuk menyedut tenaga
tersebut. Mereka menyakiti diri mereka dan menyakiti kita dengan
mencetuskan karma buruk bagi kedua-dua belah pihak.
Bagaimanakah kita membezakan antara semangat dan khurafat?
Hal
ini penting sekali kerana jika kita terlalu memilih maka kita akan
menjadi paranoid. Hal yang utama sekali adalah untuk tidak jahil
terhadap faktor-faktor ini. Perlindungan itu adalah suaka. Dengan
mencari suaka, maka kita akan dilindungi dengan sebaiknya. Buddha dan
mereka yang dicerahi itu melindungi kita kerana kita menjalankan sadhana
dan mempunyai pengetahuan untuk memahami proses. Ia mengubah keadaan
yang tidak menyenangkan kepada yang menyenangkan.Semakin baik pemahaman
kita terhadap dharma, semakin banyaklah pahala yang terkumpul untuk
menjajarkan semula keadaan bagi mengelakkan kita mudah diserang. Penting
sekali untuk kita mencari suaka perlindungan.
Adakah semangat itu sejenis preta atau hantu lapar?
Semangat
ini boleh jadi seorang preta, makhluk neraka atau haiwan. Terdapat
tahap halus bagi semangat. Sebagi contoh, naga adalah ular air atau
ular. Mereka boleh menyebabkankan penyakit barah, penyakit kulit dan
kusta kerana hubungan mereka dengan elemen bumi dan elemen angkasa.
Elemen bumi memberikan kesan kepada kulit. Terdapat lapan kumpulan
semangat. Setiap kumpulan ini pula mempunyai kelompok kecil. Kategorinya
didasarkan kepada pembahagian dalam empat elemen. Jika kita boleh
melihat elemen yang terganggu maka kita boleh membezakan jenis semangat
dan menjadikan seseorang itu lebih kuat dan tidak mudah diserang apabila
berhubungan dengan semangat-semangat ini.
Yang
kedua, kita melindungi seseorang itu dengan menjalankan pemujaan dan
cuba meletakkan semangat tersebut di bawah panduan seorang penjaga yang
akan menjaga perkembangan mereka. Orang tersebut akan menjana pahala
selain daripada mengubati tubuh dan akalnya. Ramai orang beranggapan
bahawa pemujaan dijalankan untuk membunuh semangat-semangat itu. Kita
tidak boleh berbuat demikian. Jika kita melakukannya maka kita akan
melanggar sumpah untuk tidak membunuh kerana semangat itu masih lagi
satu kesedaran. Kita haruslah berbelas kasihan dan menjana cinta kasih
terhadap semangat-semangat itu. Kita berharap semoga satu hari nanti
mereka pun akan menerima pencerahan.
Semalam,
saya mendapat berita bahawa seseorang terbunuh dalam satu kemalangan
jalan raya di Morocco. Pagi ini, seseorang telah membawa gambar si mati
itu. Saya pun menyatakan bahawa, "Orang ini terbunuh disebabkan oleh penyebab luaran. Terdapat semangat atau roh yang telibat."
Seseorang pernah menelefon dan menyatakan bahawa saya pernah bertemu
dengan si mati itu dua tahun yang lepas. Saya kemudian melihat dalam
fail saya dan melihat bahawa dia datang meminta untuk menilik. Dia
sedang berhadapan dengan tenaga yang dirasakannya sebagai tidak sesuai.
Saya memaklumkan kepadanya, "Berhati-hati. Kamu dalam bahaya." Saya
memberi khidmat nasihat perubatan namun orang yang menelefon saya itu
tidak datang untuk menerimanya. Kemudian, kemalangan itu pun berlaku.
Ramai orang bermain-main dengan perbomohan, tilikan dan perkara-perkara
Dunia Baru namun hal ini sebenarnya adalah sangat berbahaya. Ia boleh
membawa kepada kematian serta menghasilkan halangan yang kuat. Halangan
tersebut mengganggu proses perkembangan jiwa kita.
Bukan
semua perkara itu disebabkan oleh semangat seperti yang difikirkan oleh
ramai orang. Masalah yang timbul boleh jadi juga disebabkan oleh
ketidakseimbangan jiwa dalaman yang digabungkan sekali dengan corak
tabiat serta sikap akal kita sendiri. Semangat boleh menjadi satu alasan
kepada hal-hal ini.
Kadang-kala
kita mendengar bahawa apabila kita masuk ke dalam hutan dan hendak
kencing maka kita pun mengganggu para naga. Adakah sebarang perlindungan
untuk hal itu?
Pastikan
bahawa kita sentiasa peka dengan persekitaran. Dalam setiap
persekitaran, terdapat juga hakikat lain yang saling berkaitan. Apabila
kita pergi ke rumah sesiapa, kita pun akan mengetuk pintu rumahnya dan
bertanya khabar sebelum meminta keizinan untuk masuk. Jika kita hendak
menggunakan sebarang kemudahan dalam rumah seseorang maka kita pun akan
meminta keizinan. Apabila masuk ke hutan pun begitulah halnya. Katalah, "Selamat sejahtera Tuan, bolehkah saya masuk ke dalam hutan? Saya minta kebenaran kerana saya datang dengan niat yang baik. Saya datang ke tempat Tuan dan berharap semoga Tuan senang hati jua." Jika kita bersopan begini, pastilah mereka akan mengalu-alukan kita.
Sikap
seperti ini adalah penting bagi mengelakkan kita daripada menjajahi
alam mereka. Apabila lama menjalankan kenaikan, perkara pertama yang
mereka lakukan adalah memberikan persembahan kepada semangat tempatan
dan berkata, "Tuan, mohon kedatangan kami dialu-alukan. Pertamanya,
saya memberi persembahan kepada semangat tuan tanah, penguasa tanah di
sini. Kami di sini hanya untuk menjalankan amalan dharma secara damai.
Tuan juga boleh menyertainya namun jika Tuan tidak mahu menyertainya pun
kami memohon agar Tuan menjauhi kami." Oleh itu, peka sahaja dengan persekitaran dan alam semulajadi apabila berada di hutan.
Jika
kita masuk ke hutan dan tidak tahu apakah tujuan kita berada di situ
maka kita pun akan mencetuskan masalah. Di tempat seperti India, Nepal
dan Brazil ramai sekali orang memberikan persembahan kepada semangat
alam sekitar. Kita tidak seharusnya kencing atau menajiskan
tempat-tempat persembahan kepada semangat. Di India, persembahan hanya
diberikan di satu tempat sahaja dan tidak boleh diletakkan merata-rata.
Jika di kawasan bandar, tidak perlulah memberikan sebarang persembahan.
Cukup dengan membaca doa atau mantra dalam hati bagi menambahkan lagi
persembahan kepada semangat di sekeliling. Keduanya, memurnikan
persekitaran. Orang ramai menaburkan beras dan semangat pun menikmatinya
dengan senang hati.
Walaupun kita masuk ke dalam hutan dengan niat yang baik, namun adakah kita masih lagi menyakiti semangat-semangat di dalamnya?
Kita haruslah memahami bahawa niat itu adalah faktor akal bagi tindakan dan tindakan yang terhasil itu adalah karma. Walaupun sesuatu tindakan itu baik, namun ia boleh juga mencetuskan jejak yang buruk. Bagaimanakah kita mengetahui hal ini? Kita mengetahuinya melalui kebijaksanaan atau hikmah. Niat yang baik sahaja tidak mencukupi. Seseorang itu haruslah mempunyai kebijaksanaan. Merendah hati dan menjalankan amalan dengan betul. Dalam lain perkataan, cuba fikirkan, "Saya mengharapkan agar semua makhluk itu menerima kebahagiaan dan menjadi punca kepada kebahagiaan. Saya berharap semoga semua makhluk dibebaskan dari kesengsaraan dan segala yang menyebabkan kesengsaraan. Semoga semua makhluk itu sentiasa bersama dengan Guru mereka. Semoga semua makhluk itu menjadi masyarakat yang saling menyokong dan saya memberi persembahan hormat kepada Tiga Mastika." Hal ini akan menjana tenaga positif yang memberikan manfaat kepada persekitaran. Hal ini adalah lebih semulajadi berbanding dengan kita mencetuskan paranoia dalam setiap tindakan kita.
Rujukan
- Segyu Rinpoche, Mental and Physical Illness Can Be Caused by Spirits, FPMT, May-June 2000 (Online)