Selanjutnya mengenai Semangat Gyalpo

Ciri-Ciri Semangat Gyalpo

Geofferey Samuel dalam Civilized Shamans: Buddhism in Tibetan Societies menggambarkan Gyalpo sebagai "semangat raja-raja" yang merupakan "penjelmaan semangat raja jahat atau lama tahap tinggi yang melanggar sumpah." Beliau selanjutnya menyatakan warna semangat ini adalah putih. De Nebesky-Wojkowitz dalam Oracles and Demons of Tibet: The Cult and Iconography of the Tibetan Protective Deities pula menyatakan bahawa semangat jenis ini umumnya berwarna merah dan mereka ini bersifat ganas. Mereka umumnya mengganggu para lama dan orang yang kuat beragama, orang awam dan juga haiwan. Pada hakikatnya, semangat Gyalpo ini ada yang berwarna putih yang melambangkan bahawa mereka tidak mengganggu dan ada yang berwarna merah yang melambangkan bahawa mereka berada dalam rupa ganas.

Dipercayai juga bahawa seseorang itu boleh mendapatkan perlindungan dari gangguan semangat Gyalpo ini dengan menjalankan upacara yang bersesuaian. Padmasambhava dalam kitab arahan samadhi memberikan amaran kepada murid-muridnya bahawa semangat jenis ini boleh memperdaya orang dengan kuasa ajaib mereka. Sesetengah Gyalpo juga dipercayai terikat dengan sumpah dengan Padmasambhava. Sebagai contoh, Gyalpo Pehaj yang dipercayai menjadi penunggu di Samye yang dibina semasa zaman Padmasambhava dan Raja Trisong Detsen terikat dengan sumpah tersebut.

Machig Labdron menjelaskan juga mengenai rahsia cara semangat Gyalpo ini menjelma secara zahir dan batin. Cara zahir mereka menjelmakan diri mereka adalah dengan kewujudan kuil-kuil berhiasan cantik, stupa kaca dipenuhi dengan perak serta emas dan bhiksu berpakaian elok memberikan ajaran dengan penuh karisma. Gyalpo mengambil kesempatan ini untuk menimbulkan keresahan dan kebingungan dalam jiwa manusia. Tulku Urgyen Rinpoche (1920-1996) menulis bahawa Gyalpo selalu menjelma sebagai guru agung, guru rohaniah dan makhluk bodhisattva. Beberapa pengamal yang berkemahiran tinggi pun tertipu dengan muslihat mereka.

Gyalpo Pehar

Gyalpo Pehar dipercayai menjadi ketua segala kelompok Gyalpo. Semasa Padmasambhava tiba di negara Tibet pada abad ke-8 masihi, beliau menawan semua semangat Gyalpo. Selanjutnya, mereka diletakkan di bawah pemerhatian Gyalpo Pehar yang telah berjanji untuk tidak mengganggu makhluk berhati nurani lain. Baginda Gyalpo Pehar dilantik menjadi penunggu di Kuil Samye yang dibina pada ketika itu. Sesetengah orang Tibet mempercayai bahawa penunggu Kuil Samye akan meresap dalam tubuh bomoh yang digelar sebagai Tuan Paduka Dharma Samye yang bertindak sebagai peramal atau penilik.

Gyalpo Nechung

Dharmaraja Nechung Dorje Drakden atau Nechung Chokyong dianggap sebagai memanda ketua menteri kepada Gyalpo Pehar atau baginda dianggap sebagai setara dalam kegiatannya dengan Gyalpo Pehar. Semangat Gyalpo inilah yang dikatakan menyerap dalam Peramal Nechung atau Peramal Kebangsaan Tibet.